Semarak Subuh: Masjid An-Nur, Taman Larkin Perdana
لاحول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid An-Nur, Taman Larkin Perdana, seterusnya mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Haji Suhaimi bin Rebu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid & Surau JAINJ.
Tazkirah ini mengajak kita bermuhasabah tentang hakikat keikhlasan bahawa setiap amalan, sama ada sekecil-kecil perbuatan hinggalah sebesar-besar amanah, hanya bernilai di sisi Allah SWT apabila dilakukan semata-mata kerana-Nya.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Insan, ayat 9:
“Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharapkan keredaan Allah semata-mata; kami tidak menghendaki balasan dan tidak pula ucapan terima kasih daripada kamu.”
Ayat ini selari dengan peringatan Rasulullah SAW dalam hadis tentang bahaya amal yang dilakukan bukan kerana Allah, di mana perbezaan antara ikhlas dan riya’, ujub serta sum‘ah amatlah halus. Penilaian Allah SWT bukan seperti penilaian manusia, bahkan sering berbeza daripada penilaian diri kita sendiri.
Tazkirah ini juga mengingatkan bahawa keikhlasan bukan hanya pada ibadah besar, tetapi bermula daripada perkara paling asas iaitu dari niat dalam berpakaian, bekerja, memimpin, membantu orang lain, sehinggalah mengurus urusan dunia dan akhirat, semuanya dimulakan dengan niat kerana Allah SWT dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW.
Semoga peringatan ini mendidik hati kita untuk terus meluruskan niat, memperbaiki amal, dan menjadi hamba-hambaNya yang istiqamah, bersyukur atas nikmat kehidupan, kesihatan, keamanan dan iman yang masih dipinjamkan kepada kita. Moga setiap langkah kita sentiasa diberkati dan diterima di sisi-Nya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #GengSubuhMacamJumaat #RapatkanSaf




