Majlis Pembukaan Rasmi Brooks Automation Di Johor

Syukur Alhamdulillah, seramai 160 rakyat Malaysia yang majoritinya Bangsa Johor telah ditawarkan pekerjaan bergaji premium di Brooks Automation, sebuah syarikat global dalam automasi semikonduktor dan robotik yang beroperasi di Pasir Gudang. Perkara ini dikongsikan sempena Majlis Pembukaan rasmi Brooks Automation di Johor.

Menerusi Johor Talent Development Council (JTDC), Johor mensasarkan pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi atau gaji premium bermula sekitar RM4,000 hingga RM5,000 ke atas, bergantung kepada tahap kemahiran, kepakaran teknikal dan teknologi yang digunakan selari dengan keperluan industri bernilai tinggi dan ekonomi masa hadapan.

Brooks Automation telah memilih Johor sebagai lokasi strategik dengan fasiliti seluas 180,000 kaki persegi dan nilai pelaburan mencecah USD60 juta, sekali gus membuktikan kekuatan ekosistem perindustrian serta kemudahan infrastruktur negeri ini.

Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Johor dimana sebanyak 300 peluang pekerjaan diwujudkan termasuk lebih 160 jawatan berpendapatan tinggi, dengan keutamaan kepada bakat tempatan serta penyediaan latihan industri secara berterusan.

Lebih membanggakan, penglibatan 29 vendor tempatan dalam rantaian bekalan Brooks Automation akan merangsang aktiviti ekonomi setempat dan memperkukuh ekosistem industri negeri. Ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pertumbuhan pelaburan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan usahawan tempatan.

Pada masa yang sama, saya turut berkesempatan melawat Kuarters Pekerja Bersepadu yang kini menempatkan lebih 3,000 pekerja industri. Kuarters ini dilengkapi kemudahan asas termasuk mini market, perkhidmatan dobi dan gimnasium untuk kebajikan serta kesejahteraan pekerja. 

Kerajaan Negeri komited memastikan setiap pelaburan strategik di Johor memberi manfaat langsung kepada rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh ekosistem perindustrian, sekali gus memacu pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #IMFCJ #JTDC