Kerajaan Negeri Johor Terus Memperkukuh Agenda Orang Muda Johor
Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh Agenda Orang Muda Johor sebagai komitmen dasar yang jelas dalam kerangka besar Maju Johor. Ini adalah pendekatan strategik yang meletakkan generasi muda di barisan hadapan kepimpinan, penyampaian dasar dan pembentukan masa depan negeri.
Sesi libat urus bersama orang muda Johor menjadi platform penting untuk menyelaras peranan, memperkasa komunikasi dasar serta memastikan suara generasi muda terus menjadi sebahagian daripada pembangunan Johor yang progresif dan inklusif.
Saya menegaskan bahawa Orang Muda Johor bukan sekadar pemerhati atau pengikut arus. Mereka adalah rakan strategik kerajaan, penghubung antara dasar dan rakyat, antara perancangan dan pelaksanaan. Dalam dunia yang penuh persepsi dan maklumat tidak sahih, disiplin, integriti dan kematangan dalam berkomunikasi menjadi keutamaan.
Johor sedang melalui fasa pertumbuhan yang signifikan. Pelaburan meningkat, infrastruktur diperkasa dan agenda sosial terus diperluas. Dalam semua ini, generasi muda mesti bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan yang berilmu, berani dan berdaya saing.
Saya yakin dengan iltizam dan kesungguhan yang ditunjukkan, Orang Muda Johor mampu menjadi ejen perubahan yang positif dan progresif, selari dengan aspirasi Maju Johor yang inklusif dan mampan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




