Lawatan Kerja Ke Woodlands Checkpoint
Syukur Alhamdulillah, saya telah menerima jemputan daripada Menteri Penyelaras Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, H.E. Mr K. Shanmugam, untuk mengadakan lawatan kerja ke Woodlands Checkpoint bagi meneliti secara langsung operasi pintu sempadan Johor–Singapura yang mengendalikan ratusan ribu pergerakan harian.
Dalam lawatan tersebut, saya turut diberi taklimat oleh pihak Immigration & Checkpoints Authority (ICA) Singapura mengenai pelaksanaan sistem pelepasan imigresen berasaskan kod QR serta penggunaan pengecaman wajah sebagai identiti biometrik utama, yang bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan sempadan, malah mempercepatkan aliran trafik khususnya bagi pengguna harian yang berulang-alik antara Johor dan Singapura.
Untuk makluman, bermula 31 Mac 2026, teknologi pengecaman wajah turut diperluaskan kepada penunggang motosikal di 18 lorong automatik di Woodlands Checkpoint dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 70 lorong serta ke Tuas Checkpoint menjelang suku ketiga tahun ini, sekali gus memperkukuh kecekapan sistem sempadan secara menyeluruh.
Selepas lawatan tersebut, kami bersarapan pagi di Restoran Hua Mui, Johor Bahru, sambil membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik Johor–Singapura selari dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi serantau.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mr K. Shanmugam atas jemputan dan kesudian meluangkan masa untuk sesi lawatan serta perbincangan ini. Semoga pertemuan ini terus memperkukuh hubungan Johor–Singapura demi kemaslahatan kedua-dua buah negara. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




