Sesi Perbincangan Strategik Bersama SICC Shanghai Co. Ltd.
Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Johor berkesempatan mengadakan sesi perbincangan strategik bersama SICC Shanghai Co., Ltd., antara pemain global utama dalam pengeluaran substrat silikon karbida (SiC), serta lapan rakan ekosistemnya yang terdiri daripada syarikat dalam sektor semikonduktor, bahan termaju dan kejuruteraan berketepatan tinggi.
SICC merupakan antara pengeluar substrat SiC terbesar di dunia, dengan pegangan pasaran sekitar 22.8%, sekali gus meletakkannya dalam kalangan peneraju global dalam teknologi ini. Sesi ini menghimpunkan pemain industri yang menjadi asas kepada pembangunan teknologi masa hadapan seperti kenderaan elektrik, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam sesi ini, perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama strategik di Johor, termasuk penilaian kesiapsiagaan infrastruktur, ekosistem industri serta keperluan kawal selia. Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk memastikan setiap pelaburan dilaksanakan secara cekap, tersusun dan mesra pelabur, selari dengan kerangka Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Kerajaan Negeri berharap agar usaha seperti ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak Johor, di samping memacu pemindahan pengetahuan, teknologi dan kemahiran baharu dalam bidang semikonduktor, termasuk aktiviti pemasangan, pengujian, integrasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Semoga segala usaha ini bukan sekadar membawa pelaburan ke negeri Johor, tetapi benar-benar membina ekosistem yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat terutamanya anak Johor agar mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja, tetapi mampu tampil sebagai pemain utama dalam industri masa hadapan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




