Lawatan Ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, Johor Bahru yang menempatkan seramai 900 murid dengan sokongan 54 orang guru.
Lawatan ini amat bermakna, saya berpeluang beramah mesra, berkongsi aspirasi serta mendengar sendiri harapan dan keperluan pihak sekolah. Dalam semangat sebuah keluarga besar Bangsa Johor, Kerajaan Negeri akan terus mendekati dan memberi perhatian kepada setiap komuniti tanpa mengira kaum atau latar belakang, khususnya bagi memastikan anak-anak Johor mendapat persekitaran pendidikan yang selamat dan berkualiti.
Secara keseluruhan, sebanyak RM226,000 telah disalurkan dan diluluskan kepada SJK(T) Jalan Yahya Awal merangkumi RM26,000 bagi menyokong penambahbaikan infrastruktur dan pelaksanaan aktiviti sekolah, serta peruntukan baharu sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan kerja penambahbaikan, meliputi:
1. Pembaikan pam sistem kumbahan serta pembinaan pagar di kawasan yang belum berpagar
2. Penggantian pemegang tangan tangga yang berkarat di Blok A dan Blok B kepada pemegang tangan keluli tahan karat
3. Pembaikan bumbung dewan dan laluan berbumbung
4. Pemasangan pagar di kawasan padang sekolah
Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap anak Johor diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya untuk berkembang, menimba ilmu serta membina masa depan yang lebih baik. Dalam keluarga besar Bangsa Johor, setiap anak adalah aset negeri dan tiada sesiapa yang akan dipinggirkan.
Semoga usaha ini dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan selesa, seterusnya melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




