Semarak Subuh Di Masjid Tun Hussein Onn Johor Bahru
Kepada Allah kita berserah.
لاحول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Tun Hussein Onn, Johor Bahru serta mengikuti tazkirah daripada Al-Fadhil Ustaz Fakhrurrazi bin Yusof, Ketua Penolong Mufti, Bahagian Rujukan Fatwa, Jabatan Mufti Johor.
Antara perkongsian yang cukup memberi kesan ialah kisah Ummu Mahjan, seorang wanita yang mencari ruang untuk berkhidmat kepada agama dengan membersihkan masjid. Mungkin pada pandangan manusia, apa yang dilakukan kelihatan kecil, namun khidmatnya tidak terlepas daripada perhatian Rasulullah SAW.
Kisah ini mengingatkan kita supaya jangan sesekali meremehkan usaha dan kebaikan orang lain. Apa yang kecil pada pandangan kita mungkin besar nilainya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zalzalah, ayat 7 yang bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
Semoga kita terus membiasakan diri berbuat baik dan belajar menghargai setiap usaha orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan sikap saling membantu dan menghormati ini terus menjadi budaya dalam kalangan Bangsa Johor serta membawa rahmat dan keberkatan kepada negeri ini. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




