Mesyuarat Tergempar Bagi Memperkukuh Tindakan Bersama Dalam Aspek Pengawalan Kebakaran

Kerajaan Negeri ingin sekali lagi menyeru agar negara-negara ASEAN memainkan peranan yang lebih aktif dengan mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh tindakan bersama dalam aspek pengawalan kebakaran, pemantauan titik panas dan pencegahan kebakaran pada masa akan datang.

Perkara ini dibincangkan semasa mesyuarat penyelarasan bencana peringkat negeri. Untuk makluman, sudah 53 hari Johor berdepan episod jerebu sejak 25 Ogos lalu, dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat. Keadaan ini amat membimbangkan, khususnya terhadap kesihatan dan kehidupan seharian rakyat.

Risiko jerebu rentas sempadan turut menjadi perhatian susulan aktiviti titik panas di Indonesia. Berdasarkan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang diterima, sebanyak 453 titik panas dikesan di Kalimantan dan 153 di Sumatera, yang berpotensi meningkatkan risiko jerebu sekiranya berlaku kebakaran dan pergerakan asap merentasi sempadan. 

Kepada seluruh Bangsa Johor, marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri Johor dan seluruh negara daripada sebarang musibah dan bencana. Semoga kita semua sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan serta berada dalam lindungan dan rahmat-Nya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor 

Skip to content