Semarak Subuh Di Masjid Taman Impian Emas, Skudai

Kepada Allah Kita Berserah

لا حول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang bersama para jemaah di Masjid Taman Impian Emas, Skudai untuk menunaikan Solat Subuh berjemaah menerusi Program Semarak Subuh Johor.

Selesai Solat Subuh, para jemaah mengikuti Tazkirah Subuh bertajuk “Menghadapi Manusia dengan Hati yang Lapang” yang disampaikan oleh Tuan Haji Anoar bin Sarimin, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. Perkongsian ini mengingatkan kita bahawa kepimpinan dan kehidupan bermasyarakat memerlukan jiwa yang besar, kesabaran serta kesediaan untuk menerima perbezaan.

Agama mengajar kita supaya saling mengingati, saling menasihati dan saling menegur ke arah kebaikan. Kita bukan sahaja perlu berani menegur dengan hikmah, malah mesti bersedia menerima teguran dengan hati yang terbuka. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan terbaik melalui akhlak yang mulia, kesabaran dan kebijaksanaan dalam menghadapi manusia.

Orang yang berlapang dada dan pemaaf akan lebih tenang dalam menjalani kehidupan. Allah SWT mengajarkan kita untuk mengingati-Nya melalui zikir, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ar-Ra‘d, ayat 28, yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.” Kita juga hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan menerima setiap ketentuan-Nya dengan sabar serta penuh keyakinan terhadap hikmah di sebaliknya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita jiwa yang besar, hati yang lapang dan akhlak yang mulia dalam memimpin serta menjalani kehidupan bermasyarakat. Mudah-mudahan kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menerima teguran, memaafkan kesalahan dan terus memperbaiki diri demi kebaikan bersama. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #RapatkanSaf

Skip to content