Program Semarak Maghrib Dan Isyak Di Masjid Jamek Nurul Takzim, Kampung Dato Sulaiman Menteri
Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Maghrib dan Isyak Negeri Johor diteruskan di Masjid Jamek Nurul Takzim, Kampung Dato Sulaiman Menteri, dengan menghimpunkan masyarakat untuk menunaikan Solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta mengimarahkan rumah Allah SWT.
Program ini turut diisi dengan perkongsian Hadis 40 bertajuk “Aqidah yang Satu” oleh Ustaz Haji Mohamad Halil bin Md Noor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Perkongsian ini menyentuh kepentingan memelihara akidah serta usaha pihak penguat kuasa membendung penyelewengan agama.
Sesungguhnya, akidah merupakan tunjang utama dalam agama dan asas keimanan seorang Muslim. Pegangan yang benar membentuk keyakinan, amalan dan cara hidup kita sebagai hamba Allah SWT. Justeru, kefahaman agama yang sahih perlu terus diperkukuh agar kita mampu mengenali fahaman yang menyimpang dan sentiasa berpegang teguh pada ajaran al-Quran dan sunnah.
Penyelewengan akidah juga boleh membawa kepada tindakan undang-undang syariah yang memberi kesan kepada maruah individu dan keluarga. Oleh itu, usaha mendidik, membimbing dan mencegah perlu diperkukuh agar masyarakat lebih peka serta sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam yang benar.
Kerajaan Negeri Johor akan terus menyokong usaha memperkukuh penghayatan Islam melalui penyebaran ilmu dan bimbingan agama. Tanggungjawab memelihara akidah bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, malah memerlukan keprihatinan bersama keluarga dan masyarakat demi menjaga kesucian agama serta keharmonian umat Islam.
Semoga Allah SWT menetapkan hati kita dalam iman, melindungi kita daripada fahaman yang menyimpang dan membimbing kita ke jalan yang diredai-Nya. Marilah kita bersama-sama memelihara akidah dan maruah agama demi kesejahteraan umat Islam serta negeri Johor yang kita cintai. Insya-Allah.
Kepada Allah Kita Berserah
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakMaghribDanIsyakJohor #RapatkanSaf




