Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk terus menjaga kebajikan rakyat.
Syukur Alhamdulillah, sebanyak 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan peruntukan sebanyak RM138 juta yang dijangka memanfaatkan lebih 600,000 Bangsa Johor telah saya umumkan dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang ke-15.
Suka untuk saya kongsikan, setakat 30 April 2026, Johor mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan hasil negeri mencecah RM1 bilion, peningkatan sebanyak RM307 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kejayaan ini hanyalah permulaan dan setiap peningkatan hasil akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor.
Sehubungan itu, dengan hasil negeri yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri akan memperluaskan sebanyak BKJ Fasa 4 bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat merangkumi bantuan tunai kepada warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan yang baru berkahwin, OKU, anak yatim, serta penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut memperkukuh pelaksanaan Jualan Kasih Johor dengan menambah peruntukan sebanyak RM30 juta daripada peruntukan asal, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM45.4 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 750,200 keluarga Bangsa Johor.
Saya sedar dan insaf, segala usaha ini masih belum mencukupi. Namun, dalam keterbatasan yang ada, inilah yang mampu Kerajaan Negeri laksanakan pada ketika ini dengan penuh tanggungjawab. Insya-Allah, sekiranya hasil negeri terus meningkat dan rezeki Johor terus bertambah, lebih banyak bantuan akan dapat disalurkan kepada seluruh Bangsa Johor.
Justeru, marilah kita bersama-sama berdoa agar Johor terus dimurahkan rezeki, dikurniakan keberkatan, dijauhkan daripada segala bencana, serta kekal aman, maju dan makmur demi kesejahteraan rakyat negeri ini. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor



