Bantuan kepada Keluarga Yang Ditimpa Musibah Kebakaran di Kampung Sri Jaya, Skudai
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor telah menganjurkan Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Johor 2023 pada 4 September lalu bertemakan, “Johor Maju, Johor Produktif”.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam ucapan beliau pada Majlis Perasmian Penutup persidangan itu, menekankan kesungguhan kerajaan negeri membawa Johor ke status Negeri Maju menjelang 2030.
Beliau menegaskan, untuk Johor maju, produktiviti perlu ditingkatkan.
Rekod pencapaian Negeri Johor dalam masa setahun dua ini begitu memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2022 berbanding 2.5 peratus pada 2021.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) pula meningkat kepada RM70.6 bilion pada tahun lalu iaitu nilai pelaburan tertinggi negeri dalam tempoh sedekad lalu.
Realisasi impian Johor Maju bermula dengan perancangan teliti dan selepas setahun pelaksanaan rangka kerjanya, ia menunjukkan Johor kini berada di landasan tepat untuk menjadi negeri maju.
Pelaburan, perdagangan dan perniagaan domestik yang berkembang dengan baik menjadi pemacu kemajuan ekonomi.
Justeru, penggandaan produktiviti pada pemacu ini dapat memastikan ekonomi dapat tumbuh dengan kukuh, sekali gus mencipta kemajuan.
Persekitaran perniagaan kondusif
Ekosistem peraturan yang tangkas dan berkualiti membentuk iklim perniagaan dan pelaburan kondusif.
Namun, sering kali didengari aduan daripada pihak industri, mereka dibebani dengan waktu menunggu yang lama untuk kelulusan permit dan lesen. Proses serta prosedur juga kompleks dan kadangkala bertindih.
Kesan domino ini akhirnya membantutkan pengembangan ekonomi di segenap peringkat.
Kerajaan negeri Johor menangani masalah ini dan berjaya meningkatkan jumlah pelaburan menerusi iklim pelaburannya yang menarik.