Empangan Machap Menunjukkan Penyusutan Susulan Cuaca Panas

Dalam keadaan cuaca panas berterusan serta jerebu yang kini turut melanda beberapa kawasan di Johor, saya telah turun ke Empangan Machap bagi melihat sendiri keadaan terkini sumber air mentah serta langkah-langkah yang sedang dilaksanakan untuk memastikan kestabilan bekalan air kepada rakyat. 

Setakat hari ini, paras Empangan Machap menunjukkan penyusutan susulan cuaca panas berterusan sejak awal Ogos. Namun, bekalan air masih terkawal dengan paras Intake LRA Simpang Renggam kekal pada tahap normal. Berdasarkan unjuran semasa dan langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan, bekalan dijangka dapat terus bertahan sehingga awal November, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras sumber air. Pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan bekalan kepada rakyat kekal stabil.

Justeru itu, beberapa langkah mitigasi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan ialah:

1. Melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 21 hingga 24 September 2026 di kawasan sasaran termasuk sekitar Empangan Machap.
2. Mengaktifkan sistem pemindahan air mentah ke Ulu Sungai Benut melalui pontun dari Kolam Yong dan Empangan Machap, dengan tambahan aliran keseluruhan 25 hingga 30 MLD.
3. Menaikkan ketinggian pintu air di LRA Simpang Renggam bagi membantu mengekalkan paras air di intake.

Saya memahami kebimbangan rakyat dalam menghadapi keadaan cuaca ketika ini. Insya-Allah, Kerajaan Negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keperluan air rakyat terus diberi keutamaan.

Semoga Allah SWT mengurniakan hujan yang mencukupi di kawasan tadahan, memulihkan paras Empangan Machap serta mempermudahkan segala ikhtiar yang sedang dilaksanakan. Kepada seluruh Bangsa Johor, jagalah kesihatan dalam keadaan cuaca panas dan jerebu ketika ini. Kita terus berikhtiar sebaik mungkin, insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam

Skip to content