Fasiliti Pertama : Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual

Syukur Alhamdulillah, Johor kini membangunkan fasiliti pertama Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual yang bakal menjadi mercu tanda baharu komitmen negeri dalam membina masa depan Johor yang lebih bersih, selamat dan lestari.

Dengan pelaburan bernilai RM310 juta di kawasan seluas 86.7 ekar, fasiliti ini akan menjadi tulang belakang sistem pengurusan sisa domestik dan industri Johor, khususnya dalam menyokong lebih 119 kawasan industri di bawah Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) secara bertanggungjawab dan berpiawaian tinggi.

Projek ini dimiliki oleh Kitar Selatan Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KPRJ Environment Sdn. Bhd. di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), dengan kerjasama strategik SJ Varied Sdn. Bhd. Ia dijangka siap dan mula beroperasi pada Disember 2026, sebagai kompleks pengurusan sisa moden yang menepati piawaian alam sekitar yang ketat serta mengaplikasikan pendekatan rawatan yang lebih cekap, terkawal dan selamat.

Pusat ini merangkumi 10 fasiliti utama termasuk penstoran, rawatan efluen, rawatan termal, solidifikasi, pemulihan minyak dan larut resapan, loji rawatan air permukaan serta tapak pelupusan selamat. Kesemua komponen ini memastikan setiap sisa industri dirawat mengikut jenis, tahap risiko dan impak alam sekitar, sekali gus mengurangkan potensi pencemaran tanah, air dan udara.

Menerusi majlis ini, saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar di Johor. Pematuhan undang-undang alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian.

Kerajaan Negeri kekal komited memastikan setiap pelaburan baharu selari dengan prinsip yang digariskan dalam agenda Johor Green Deal iaitu membangun dengan tanggungjawab, melindungi alam demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorLestari #JohorGreenDeal