Johor Bertindak Proaktif Tangani Kebakaran Tanah Gambut Akibat Cuaca Kering
Kerajaan Negeri memandang serius kejadian kebakaran tanah gambut di beberapa lokasi di Johor kebelakangan ini akibat cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi 25 hari.
Setakat ini, terdapat tiga (3) kawasan utama terlibat, iaitu Bakri Batu 13 & 14, Muar, Bio-Desaru, Tanjung Balau, serta Sungai Linau , Simpang Renggam. Kesemua lokasi berada dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya dan operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti melibatkan lebih 300 anggota dari BOMBA, APM, PDRM, JPS, JAS, PBT, JKR dan agensi berkaitan.
Saya juga telah mengarahkan YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor untuk mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Khas Kebakaran Negeri Johor bersama Pengerusi-Pengerusi Bencana Daerah, bagi menyelaras tindakan semua agensi terlibat, memperkemas keperluan logistik, mempercepat mobilisasi aset serta memastikan pemantauan operasi berjalan secara bersepadu dan berterusan sehingga situasi pulih sepenuhnya.
Bagi memastikan operasi pemadaman lebih berkesan, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pelaksanaan kaedah total flooding, pembinaan firebreak, serta penggunaan pam bertekanan tinggi secara agresif bagi mengelakkan perebakan api bawah tanah. Bekalan air tambahan turut digerakkan segera, termasuk pengepaman berterusan dari sumber berhampiran ke sistem parit ladang dan tangki simpanan. Sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik, manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan. Semua kos operasi ditanggung oleh Tabung Bencana Negeri Johor.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong keberkesanan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan.
Syukur Alhamdulillah, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat masih berada pada tahap terkawal. Namun, Kerajaan Negeri terus memantau aspek kesihatan awam. Penduduk dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya terdapat asap tebal serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami masalah pernafasan.
Dari segi bekalan air negeri, walaupun cuaca panas dan kering berpanjangan, paras takungan empangan dan kolam tadahan utama negeri masih berada pada tahap terkawal dan mencukupi untuk kegunaan domestik serta keperluan harian. Pemantauan menunjukkan sebahagian besar empangan bekalan air Johor berada pada paras selamat.
Dalam keadaan cuaca kering ketika ini, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka. Tindakan tegas boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang alam sekitar terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran. Sekiranya ternampak asap, aktiviti pembakaran atau tanda awal kebakaran, segera laporkan kepada BOMBA atau pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Negeri Johor akan terus berusaha memastikan keselamatan rakyat sentiasa diutamakan dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara. Operasi pemadaman akan diteruskan sehingga api dipadam sepenuhnya, dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh terdekat bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Semoga Johor terus berada dalam lindungan Allah SWT, dijauhkan daripada sebarang musibah, serta selamat dan sejahtera buat seluruh rakyat Bangsa Johor.




