Johor Catat Pertumbuhan Tertinggi Bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar
Syukur Alhamdulillah. Johor muncul sebagai negeri yang mencatat kadar pertumbuhan tertinggi pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus, melepasi kadar pertumbuhan nasional dengan nilai KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion.
Menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa memberikan sokongan, nasihat dan bimbingan untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri terus dipacu demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Pencapaian kukuh ini didorong oleh peranan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang kian menyerlah sebagai hab pelaburan serantau. Kedudukan Johor yang strategik, rangkaian infrastruktur yang baik, pelabuhan bertaraf dunia serta zon perindustrian yang luas menjadi kelebihan kompetitif yang memperkukuh keyakinan pelabur.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan pelaksanaan Agenda Maju Johor yang mensasarkan pertumbuhan KDNK antara 7 hingga 8 peratus setahun menjelang 2030. Tumpuan terus diberikan kepada dasar mesra pelabur, pembangunan infrastruktur moden dan usaha memperkasa ekonomi rakyat agar Johor menjadi negeri yang makmur, mampan dan inklusif.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan usaha ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk Johor terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




