Johor Komited Martabatkan Lagi Sektor Pertanian Negara, Cadang Bangunkan Pusat R&D
Dalam usaha untuk memartabatkan lagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri Johor, pelaburan dalam aspek Penyelidikan & Pembangunan (R&D) di setiap aktiviti rantaian pengeluaran makanan perlu diberi penekanan serta keutamaan.
Ia penting bagi membangunkan inovasi dan teknologi untuk digunapakai oleh kumpulan sasar dalam industri ini, sama ada daripada golongan petani, peladang, agensi Kerajaan, sektor swasta dan pakar akademik.
Atas kepentingan tersebut, Kerajaan Negeri Johor telah membentang dan membincangkan cadangan bagi mewujudkan Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Pertanian Negeri Johor bersama YBhg. Datuk Seri Isham Bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM), serta kepimpinan tertinggi di bawah kementerian tersebut. Usaha penubuhan pusat ini akan diterajui oleh pihak Johor Biotech, dengan jalinan kerjasama dari agensi-agensi Persekutuan dan Negeri yang lain, serta pemain industri.
Walaupun masih di peringkat perbincangan awal, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran agar pusat R&D ini dapat memainkan peranan sebagai;
1. Platform kolaboratif antara universiti, pusat penyelidikan, dan industri,
2. Mempromosi pertanian neutral karbon, mesra alam dan lestari,
3. Mewujudkan pangkalan data bagi penyelidikan, precision & smart farming,
4. Menawarkan program sokongan & pembangunan kapasiti, serta peluang kolaborasi penyelidikan.
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan Pusat R&D Pertanian Negeri Johor ini menjadi realiti demi melestarikan dan memperkasa agenda keterjaminan makanan negeri dan juga negara.