Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026

Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas visi dan kepimpinan dalam merealisasikan penganjuran Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026, kejohanan polo terbesar dan berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia, sekali gus membawa nama Johor ke pentas sukan antarabangsa.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir menyaksikan sendiri aksi pembukaan kejohanan ini. Lebih membanggakan, DYAM Pemangku Sultan Johor tetap turun beraksi bersama pasukan Royal Johor meskipun mengalami kecederaan serius pada tangan hanya lapan hari sebelum kejohanan sehingga menyebabkan tiga jari mengalami keretakan. Namun, kecederaan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat dan keazaman DYAM Tunku untuk turun ke gelanggang serta berjuang bersama pasukan.

Dengan semangat juang yang cukup luar biasa, DYAM Tunku berjaya menjaringkan lima gol dalam hanya dua chukka, sekali gus membantu Royal Johor mencatat kemenangan 11-7 ke atas Temasek dalam perlawanan pembukaan. Kecekalan dan keazaman yang ditunjukkan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh Bangsa Johor untuk terus berusaha, tidak mudah mengalah dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.

JSCPT 2026 yang berlangsung di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi menghimpunkan lima pasukan elit serta barisan pemain polo bertaraf dunia, termasuk beberapa nama yang pernah menjuarai Argentine Open. Kehadiran pemain dan tetamu antarabangsa ini membuktikan kemampuan Johor menganjurkan kejohanan sukan berprestij pada tahap tertinggi.

Membawa kempen “Legacy in Motion”, kejohanan ini bukan sahaja meneruskan legasi dan tradisi polo Diraja Johor, malah membuka ruang lebih luas kepada pembangunan pelancongan sukan premium, jaringan antarabangsa serta memperkenalkan Johor kepada khalayak global menerusi siaran langsung ke seluruh dunia.

Insya-Allah, Johor akan terus membina kedudukan sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan antarabangsa. Semoga JSCPT 2026 terus berlangsung dengan jayanya dan menjadi satu lagi pencapaian yang membanggakan seluruh Bangsa Johor.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSCPT #RoyalJohor

Skip to content