Johor Terima RM9.658 Juta Perkukuh Agenda Kelestarian 2026

Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di bawah pimpinan YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup atas penyaluran RM9.658 juta kepada Johor bagi tahun 2026 dalam memperkukuh agenda kelestarian negeri ini.

Menerusi pertemuan ini, pelbagai perkara dan isu telah dibincangkan termasuklah isu konflik manusia dan hidupan liar khususnya gajah yang memberi kesan kepada keselamat Bangsa Johor. Kerajaan Negeri bersama kementerian akan memperkukuh pengurusan habitat, pengaktifan taskforce khas dan bantuan kerugian akibat konflik manusia–gajah supaya keselamatan rakyat terjamin sekaligus pemuliharaan spesies terus dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Perbincangan turut menekankan pengukuhan kawasan perlindungan hutan, pelaksanaan rondaan biodiversiti serta pemerkasaan renjer komuniti di lapangan bagi membanteras pencerobohan dan aktiviti haram. Hutan dan sumber asli bukan sekadar aset alam tetapi pelindung bekalan air, penampan bencana serta warisan yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

Dalam aspek kualiti alam sekitar pula, penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan aktiviti industri terus diperkasa secara bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Pendekatan tegas serta pemantauan berterusan ini membuahkan hasil positif apabila jumlah sungai tercemar di Johor berjaya dikurangkan daripada sembilan kepada tujuh sungai, sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat untuk Bangsa Johor.

Keseluruhan usaha ini mencerminkan komitmen berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kelestarian secara lebih tersusun, berfasa dan berimpak tinggi. Kerjasama ini turut merangkumi pengukuhan serta pemerkasaan Johor Green Deal sebagai kerangka dasar utama yang memandu peralihan Johor ke arah ekonomi hijau, rendah karbon dan lebih berdaya tahan.

Semoga sinergi erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan terus memperkukuh kesejahteraan Bangsa Johor, memacu pertumbuhan ekonomi hijau serta memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan dan sentiasa berteraskan kepentingan rakyat. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah 

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorGreenDeal #JohorLestari