Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026
Syukur Alhamdulillah, Johor berbesar hati menjadi tuan rumah Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang menghimpunkan 432 atlet daripada enam kontinjen seluruh Semenanjung Malaysia di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri.
Sepanjang tiga hari penganjuran, para atlet berentap dalam tujuh acara sukan iaitu bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring, boling, menyumpit dan batu seremban. Tahniah saya ucapkan kepada semua atlet atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang karnival, serta kepada para pemenang atas kejayaan yang diraih.
Di Johor, lebih 20,000 masyarakat Orang Asli yang mendiami 60 kampung merupakan sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor yang perlu terus dibawa bersama dalam arus kemajuan negeri. Sepanjang tempoh 2023 hingga 2026, Kerajaan Negeri Johor telah meyalurkan peruntukan keseluruhan hampir RM13 juta menerusi pelbagai inisiatif, geran dan sumbangan termasuklah Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi memperkukuh kebajikan, kesejahteraan serta pembangunan komuniti Orang Asli.
Terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, JAKOA serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan KSOA 2026 di Johor dengan penuh komitmen dan kerjasama.
Semoga penganjuran ini menjadi pemangkin untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda Orang Asli untuk terus maju, berjaya dan bersama-sama mencorak masa depan Johor serta Malaysia. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




