Kerajaan Negeri Menggerakkan Pelbagai Inisiatif Bagi Mengurangkan Kesan Kepada Rakyat
Untuk makluman, paras Sungai Benut kini berada pada paras minimum, manakala Empangan Machap juga berada di bawah paras operasi selamat. Keadaan ini menyebabkan Loji Rawatan Air Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34% kapasiti.
Walaupun keadaan berpunca daripada fenomena cuaca kering berpanjangan, Kerajaan Negeri telah dan sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat. Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
1. Pengukuhan Operasi Loji Rawatan Air
– Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng menyalurkan tambahan 4 Juta Liter Sehari (JLH) bagi membantu menstabilkan bekalan.
– Pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap sedang dilaksanakan untuk menyalurkan tambahan sehingga 20 JLH ke Sungai Benut bagi menyokong operasi LRA Simpang Renggam
2. Mobilisasi Lori Tangki Air
– 28 lori tangki air sedang beroperasi di Kluang & Pontian
– Tambahan 14 lori tangki air dari luar Johor sedang dalam perjalanan dan dijangka tiba hari ini.
– Bantuan negeri lain turut menyumbang 15 lori tangki tambahan (kapasiti 5–7m³) khusus untuk kawasan Pontian & Simpang Renggam.
3. Penempatan Tangki Air Statik
– Sebanyak 41 tangki air statik telah ditempatkan di lokasi keutamaan bagi membantu komuniti terjejas, melibatkan 9 lokasi di Kluang serta 32 lokasi di Pontian bagi memastikan akses air asas terus tersedia kepada kumpulan berkeperluan.
4. Bantuan Bekalan Minuman dimana pengedaran air mineral sedang difokuskan kepada kawasan hujung sistem dan komuniti berisiko tinggi seperti sekolah, klinik dan penempatan padat.
5. Operasi Pembenihan Awan
– Dijadualkan pada 11, 12 dan 15 Februari 2026 di Empangan Machap, Layang dan Ulu Sungai Sedili Kecil yang dilaksanakan bersama NADMA, METMalaysia dan TUDM sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air.
Saya sedar dan insaf bahawa segala usaha ini belum mampu menghilangkan sepenuhnya kesulitan yang dirasai. Tetapi percayalah, setiap agensi bekerja tanpa henti supaya tiada rakyat Johor yang dibiarkan tanpa bantuan.
Dalam keadaan ini, saya memohon agar rakyat bersama-sama berjimat menggunakan air dan salurkan maklumat jika ada kawasan yang memerlukan perhatian segera.
Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menurunkan hujan rahmat, memenuhkan kembali sungai dan empangan kita, serta mempermudahkan urusan rakyat Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




