Lawatan Berjumpa Dengan Delegasi NEOJAPAN Inc
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan berjumpa dengan delegasi NEOJAPAN Inc., sebuah syarikat terkemuka Jepun yang telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri melalui Invest Johor semasa Nikkei Forum Medini, Johor 2025.
NEOJAPAN Inc. merupakan syarikat teknologi berpangkalan di Yokohama, Jepun, tersenarai di Pasaran Utama Bursa Saham Tokyo dan berpengalaman lebih 32 tahun dalam pembangunan perisian. Ia kini beroperasi di lima negara iaitu Jepun, Amerika Syarikat, Malaysia, Thailand dan Filipina dengan lebih 5.5 juta pengguna di seluruh dunia.
Pertemuan ini membuka ruang kerjasama strategik antara Johor dan NEOJAPAN Inc. yang sedang memperluas operasi di Asia Tenggara melalui penubuhan Center of Excellence (CoE) di Johor, bagi memperkukuh ekonomi digital dan transformasi teknologi negeri.
Kerjasama ini dijangka mewujudkan hingga 300 pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan gaji permulaan sebanyak RM4,000 untuk graduan baharu. Dalam masa yang sama, lebih 1,000 graduan tempatan akan dilatih dalam tempoh lima tahun, hasil kerjasama dengan Fakulti Komputeran UTM dan Malaysia-Japan International Institute of Technology sebagai penyedia utama bakat.
Saya yakin, kerjasama strategik seperti ini akan terus memperkasakan Johor sebagai negeri yang progresif dan bersedia menyahut cabaran ekonomi masa hadapan. Semoga manfaat yang dibawa akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, membangunkan bakat tempatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan dan inklusif. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




