Lawatan ke Kawasan Banjir Kg Melayu Sengkang & PPS Sengkang

Saya ke Kg Melayu Sengkang yang dilanda banjir sejak awal pagi tadi akibat hujan lebat berterusan sejak semalam. Air telah mula surut dan hanya 1 buah rumah yang masih dinaiki air.
Seterusnya saya bersama Tuan Fizwan Rashidi Pegawai Daerah Kulai & Tuan Haji Fahmi Salam YDP Majlis Perbandaran Kulai telah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di PPS Sengkang.PPS ini menempatkan seramai 20 keluarga yang terdiri dari 94 penduduk dari Kg Melayu Sengkang.

Di sini, saya telah bertemu dan menyantuni mangsa-mangsa banjir serta mendengar sendiri keperluan mereka. Saya turut meninjau kemudahan yang disediakan bagi memastikan segala keperluan asas seperti tempat berteduh dan bekalan makanan berada dalam keadaan mencukupi.

Bagi pihak Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan YAB Dato Onn Hafiz Ghazi saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah & YDP MPku dan semua agensi terlibat agar sebarang keperluan tambahan, termasuk khemah dan bekalan makanan tambahan dihantar segera ke PPS yang memerlukan.

YB Tan Sri Dr Haji Azmi Rohani Setiausaha Kerajaan Negeri turut hadir melawat mangsa banjir di PPS ini & menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Saya sangat menghargai kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat yang kini sedang bertungkus-lumus bertugas di lapangan. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan perlindungan kepada kalian semua.

Marilah kita terus berdoa agar situasi ini segera pulih dan semua mangsa diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Semoga setiap usaha ini diberkati oleh Allah SWT.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor