Majlis Pecah Tanah Rianlon Corporation
Syukur Alhamdulillah, saya telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rianlon Corporation di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang yang juga satu detik penting yang menandakan bermulanya pelaburan strategik berteknologi tinggi di Negeri Johor.
Rianlon Corporation merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi nasional China dengan lebih 20 tahun pengalaman dan reputasi kukuh di peringkat global. Syarikat ini tersenarai dalam China’s Top 500 Petroleum and Chemical Enterprises serta China’s Top 100 Fine Chemical Enterprises selama enam tahun berturut-turut.
Pelaburan ini melibatkan pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan pengeluaran moden, dengan nilai pelaburan RM820 juta bagi Fasa I dan RM450 juta bagi Fasa 2, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab industri bernilai tinggi yang berdaya saing di peringkat serantau.
Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), projek ini bukan sahaja memperkukuh rantaian nilai industri negara, malah dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Johor dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan penyelidikan.
Saya positif hasil pelaburan seumpama ini akan mewujudkan situasi menang-menang yang saling menguntungkan, sekali gus mampu membuka peluang kerjaya berkualiti bagi meningkatkan kesejahteraan serta taraf hidup rakyat Johor secara mampan.
Semoga usaha ini akan membolehkan Bangsa Johor menikmati peluang kerjaya bernilai tinggi serta membina masa depan yang lebih baik di tanah air sendiri. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




