Majlis Pembukaan Rasmi Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd.

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke Majlis Pembukaan Rasmi Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd. di Tanjung Langsat, satu pelaburan strategik dari Jerman dan Belanda yang memberi manfaat dan bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor.

Dengan kapasiti memproses 150,000 tan keluli tahan karat kitar semula setiap tahun, operasi Oryx Stainless ini dijangka mengurangkan sehingga 1 juta tan pelepasan karbon dioksida, menyumbang secara langsung kepada sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050 untuk Johor dan Malaysia. Ini bukan sahaja pelaburan dalam ekonomi, tetapi juga pelaburan dalam masa depan bumi kita.

Lebih penting lagi, pembukaan fasiliti berteknologi tinggi ini telah mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan. Malah, mereka turut menerima latihan kemahiran yang bersesuaian dengan industri moden dan lestari. Ini sekaligus membuka jalan untuk kerjaya berkualiti dan kehidupan yang lebih baik buat generasi muda kita.

Dalam usaha bagi menarik pelaburan hijau berjumlah RM300 bilion menjelang tahun 2030, Oryx Stainless menjadi contoh terbaik bagaimana pelaburan asing boleh menyumbang secara langsung kepada pembangunan mampan, pemindahan teknologi dan penjanaan nilai ekonomi jangka panjang.

Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Oryx Stainless Group atas pembukaan rasmi fasiliti ini.  Semoga pelaburan ini terus berkembang pesat dan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi hijau, serta kesejahteraan rakyat Johor dan Malaysia secara menyeluruh. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor