Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Bangsa Johor 2025
Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa memberikan sokongan, nasihat dan iltizam tinggi dalam memperkukuh agenda pembangunan Orang Muda Johor dan memartabatkan sukan sebagai medium penyatuan Bangsa Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Bangsa Johor 2025 yang berlangsung penuh gilang gemilang dengan kehadiran ribuan anak muda di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar.
Sukan Bangsa Johor bukan sekadar satu temasya, tetapi simbol iltizam Kerajaan Negeri untuk memupuk semangat perpaduan, gaya hidup sihat dan pembangunan modal insan yang progresif. Dengan penyertaan daripada semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), temasya ini menjadi wadah penyatuan masyarakat pelbagai kaum menerusi sukan, seiring dengan misi besar kita menjayakan agenda Orang Muda Johor.
Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited untuk memasyarakatkan sukan di peringkat akar umbi. Kita mahu membina rakyat yang bukan sahaja sihat tubuh badan, tetapi juga berdaya saing, berdisiplin dan mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi. Saya percaya melalui penganjuran temasya seperti ini, anak-anak Bangsa Johor akan terus dipupuk dengan nilai sportiviti, kerjasama dan muafakat.
Edisi Sukan Bangsa Johor tahun ini menampilkan empat acara utama iaitu Futsal, Bola Jaring, Sepak Takraw dan Bola Keranjang, manakala sukan pertunjukan Kabaddi diperkenalkan sebagai elemen baharu. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM1.7 juta, termasuk dana RM20,000 bagi setiap DUN, demi memperkasa penglibatan akar umbi agar tiada yang tercicir daripada nikmat pembangunan sukan.
Majlis perasmian juga diserikan dengan persembahan legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, di hadapan lebih 5,000 pengunjung yang hadir membakar semangat para peserta. Saya yakin, dengan usaha berterusan dan sokongan padu semua pihak, Johor mampu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti dan terus muncul sebagai negeri contoh dalam membudayakan sukan yang menyatu, membina jati diri dan membanggakan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




