Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ)

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) selari dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, untuk memastikan agenda perumahan diberikan keutamaan.

Menerusi majlis ini, seramai 1,020 penerima menerima manfaat di bawah dua skim utama Perumahan Kasih Johor (PKJ) dimana 780 penerima menerima Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 seorang, manakala 240 penerima lagi menerima Bantuan Masuk Rumah Pertama sebanyak RM2,000 seorang.

Pada masa yang sama, saya turut mengumumkan peluasan inisiatif Bantuan Masuk Rumah Pertama sebanyak RM2,000 kepada golongan M40 yang membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah. Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang tidak layak membeli Rumah Mampu Milik Johor, tetapi berdepan dengan tekanan kos awal ketika membeli rumah pertama.

Saya memahami bahawa tekanan kos sara hidup tidak dirasai pada satu sudut sahaja tetapi melibatkan pelbagai aspek kehidupan. Atas kesedaran itu, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar yang bersasar, berstruktur dan menyeluruh di bawah kerangka Bantuan Bangsa Johor, merangkumi empat pendekatan utama iaitu Jaringan Kasih Johor, Bantuan Kasih Johor, Belia Kasih Johor dan Perumahan Kasih Johor, bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

Di bawah pendekatan Perumahan Kasih Johor (PKJ), Kerajaan Negeri memperuntukkan RM407 juta bagi melaksanakan tujuh inisiatif utama yang memberi manfaat kepada lebih 95 ribu keluarga di seluruh Johor, merangkumi pembinaan 100 ribu unit RMMJ menjelang tahun 2030, bantuan beli dan masuk rumah pertama, sewa rumah, subsidi bina baharu, rumah percuma serta baik pulih rumah daif, selain penyelenggaraan PPR, rumah sewa kerajaan dan flat kos rendah bagi memastikan tiada yang tercicir pada setiap peringkat keperluan perumahan.

Semoga segala usaha ini dapat terus digerakkan secara berperingkat dan berterusan agar manfaatnya benar-benar sampai dan dirasai oleh Bangsa Johor di setiap peringkat kehidupan, sekali gus membawa kebaikan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #BantuanBangsaJohor #PerumahanKasihJohor #PKJ