Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Johor 2026

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama lebih 2,000 masyarakat India meraikan Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Johor 2026 yang berlangsung dalam suasana cukup meriah, penuh kemesraan dan semangat muhibah.

Inilah keunikan dan kekuatan Bangsa Johor. Walaupun berbeza kaum, agama, budaya dan tradisi, kita tetap hidup sebagai sebuah keluarga besar yang saling menghormati, meraikan dan menjaga antara satu sama lain. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi asas kepada keharmonian, kestabilan dan kemajuan negeri Johor yang kita cintai.

Dalam kesempatan yang ada, saya turut beramah mesra dengan para peniaga di Bazar Deepavali yang melibatkan lebih 80 gerai jualan. Penganjuran bazar ini turut membuka peluang kepada peniaga tempatan menambah pendapatan, merancakkan ekonomi setempat serta memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai keperluan dan persiapan perayaan.

Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM3.35 juta bagi penyediaan 40,000 bakul makanan serta penganjuran Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026. Sebanyak RM1.87 juta turut disalurkan menerusi program Jualan Kasih Johor sempena Deepavali yang menawarkan 54,000 set Kombo Kasih bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat.

Semoga sambutan Deepavali tahun ini membawa sinar kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat India, di samping terus menyuburkan semangat muhibah dan memperkukuh perpaduan yang menjadi kekuatan Bangsa Johor. Semoga keharmonian ini terus terpelihara demi masa depan Johor yang lebih makmur dan sejahtera. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content