Meluangkan Masa Makan Malam Bersama TBQ Amal

Syukur Alhamdulillah. Saya sangat gembira dapat meluangkan masa makan malam bersama anak-anak kesayangan saya dari TBQ Amal sambil menyaksikan suasana malam yang ternyata cukup meriah dan penuh warna di Kota Jail, Johor Bahru.

Kota Jail kini tampil dengan wajah baharu, bukan sekadar destinasi bersejarah, tetapi juga ruang komuniti yang hidup, terutama pada waktu malam yang dimeriahkan dengan acara seperti Kopi-O Rama. Acara ini menggabungkan seni dan gaya hidup dengan vendor-vendor kopi dan makanan tempatan yang menyegarkan deria dan membuka peluang untuk pengalaman santai yang berbeza.

Dengan kerjasama pihak pengurusan Kota Jail, seramai 50 orang anak-anak TBQ Amal turut diraikan di ruang kreatif, memberikan mereka pengalaman yang unik dan penuh keceriaan. Gelak tawa mereka, cerita-cerita jujur yang polos, serta senyuman manis mereka menjadi kenangan indah yang sukar dilupakan.

Saya berharap agar usaha ini dapat memberi mereka peluang untuk merasai pengalaman berharga, meluangkan masa yang penuh kegembiraan di Kota Jail, menjadikan malam tersebut satu momen indah dalam hidup mereka. Insya-Allah.

Buat seluruh Bangsa Johor! Ayuh, bawalah keluarga dan rakan-rakan untuk menerokai sejarah di Kota Jail yang kini menjadi pusat tarikan pelancong. Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan Kota Jail sekaligus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor