Meninjau Perkembangan Pengoperasian Hospital Pasir Gudang (HPG)
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar sektor kesihatan terus diperkukuh demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Syukur Alhamdulillah. Susulan lawatan saya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum ini, saya turut berkesempatan meninjau sendiri perkembangan pengoperasian Hospital Pasir Gudang (HPG) serta mendengar taklimat mengenai status semasa hospital dan cabaran yang sedang dihadapi.
HPG telah dilengkapi dengan kemudahan moden, kapasiti yang besar serta pelbagai bidang kepakaran. Namun, hospital yang amat dinantikan oleh Bangsa Johor ini masih belum dapat beroperasi pada kapasiti sepenuhnya kerana berdepan isu pengisian tenaga kerja. Daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan, hanya 1,079 telah diisi, manakala 1,192 jawatan masih kosong melibatkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.
Inilah cabaran sebenar yang perlu diberikan perhatian segera. Dengan kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi, HPG mempunyai potensi besar untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor serta mengurangkan beban hospital-hospital sedia ada.
Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon perhatian dan pertimbangan segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar proses pengisian jawatan di HPG dapat dipercepatkan. Hospital ini amat diperlukan bagi menampung keperluan kesihatan penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang semakin berkembang.
Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan segala keperluan Hospital Pasir Gudang dapat dipenuhi, agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya seperti yang dirancang dan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada Bangsa Johor.
Semoga segala urusan dipermudahkan dan usaha ini membuahkan manfaat yang besar buat seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




