Menyantuni Mangsa Banjir di Empat Buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kota Tinggi

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menyantuni mangsa banjir di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) Kota Tinggi iaitu PPS SJKC New Kota, PPS SK Datuk Usman Awang, PPS SK Laksamana dan PPS SRAB Kota Tinggi.

Seramai 180 keluarga mangsa banjir telah ditempatkan di empat buah PPS berkenaan. Saya sempat bertanya khabar, sambil menyampaikan sedikit sumbangan bencana kepada mangsa-mangsa banjir di sini.

Menurut laporan terkini keadaan banjir di Johor sehingga 12.00 tengahari, seramai 1,066 keluarga telah dipindahkan ke 36 PPS di 5 daerah yang terjejas banjir iaitu Kota Tinggi, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Menerusi lawatan ini, saya turut diberi taklimat mengenai tiga Projek Tebatan Banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini berada dalam fasa pelaksanaan di daerah Kota Tinggi.

Saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan ini bagi mengurangkan impak banjir yang sering melanda negeri Johor. Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius agar kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

MetMalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan dijangka berlaku di Johor pada 15 hingga 18 Januari ini. Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaa terima kasih kepada Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Southern Volunteers (SV) serta semua pihak terlibat yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam menangani isu bencana banjir di negeri ini.

Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor