Mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC)

 

Hari ini, saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama YB Lee Ting Han Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor di Bilik Mesyuarat Blok C, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PERKESO, TalentCorp, dan HRDC atas pembentangan bernas yang telah mereka sampaikan. Sumbangan idea serta maklumat daripada pihak tuan/puan amat bermakna dalam memperkukuh usaha Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat JTDC.

Harapan saya, mesyuarat ini menjadi titik tolak penting dalam usaha kita memajukan bakat dan tenaga kerja di negeri ini. Dengan agenda yang kukuh, kami membincangkan laporan perkembangan program seperti penempatan kerjaya serta langkah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri.

Intihanya, saya berharap halatuju JTDC yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan melibatkan semua pihak berkepentingan. Sasaran untuk mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan, terutama dalam program dan kursus berimpak tinggi seperti kejuruteraan, ekonomi digital, dan logistik sudah pasti mampu dicapai melalui usaha jitu dari semua pihak.

Melalui usaha ini, kita bukan sahaja memastikan masa depan cerah buat anak Johor, tetapi turut mengukuhkan negeri ini sebagai peneraju dalam pembangunan bakat di peringkat nasional. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong inisiatif ini.