Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16
Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan serta sokongan berterusan dalam memastikan agenda pembangunan Johor terus diperkasa demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya hadir ke Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. Pada persidangan ini, seramai 56 Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor, termasuk saya, telah mengangkat sumpah untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, selain berlangsungnya sesi mengangkat sumpah Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Zahari bin Sarip, ADUN Buloh Kasap, atas pelantikan sebagai Speaker Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 dan YB Datuk Haji Samsolbari bin Jamali, ADUN Semarang, sebagai Timbalan Speaker. Semoga kedua-duanya dapat menjalankan amanah dengan penuh kebijaksanaan, adil dan berintegriti dalam memastikan perjalanan Dewan sentiasa teratur serta menjunjung kepentingan Bangsa Johor.
Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua Ahli Dewan Negeri yang telah mengangkat sumpah untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat. Semoga setiap daripada kita sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, berkhidmat dengan penuh amanah serta menjadikan Dewan ini medan untuk membawa suara, aspirasi dan harapan Bangsa Johor.
Semoga Dewan ini akan terus mengangkat suara dan kepentingan rakyat, manakala penggal baharu ini dimanfaatkan sebaiknya dengan fokus yang jelas untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan demi Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




