MISI PASCA BANJIR 2025
Beberapa keadaan ditimpa bencana banjir menunjukkan perubahan positif hari ini di mana banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Alhamdulillah, sebanyak 548 Kotak Southern Volunteers (SV) sudah diedarkan ke PPS dan Bilik Gerakan SV ketika ini masih bertungkus lumus menyiapkan baki Kotak SV yang akan diagihkan ke daerah-daerah yang terjejas.
Menjunjung Titah ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor HRH Crown Prince of Johor yang mahukan setiap misi kemanusiaan dan misi bencana dalam negeri Johor perlu digerakkan melalui SV dan Orang Muda Johor.
Terima Kasih YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang sentiasa serius khususnya dalam memastikan kebajikan mangsa-mangsa yang terkesan banjir selain terus memberi dorongan dan semangat buat Sukarelawan SV dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Untuk Misi Pasca Banjir, pihak Sekretariat SV memaklumkan kepada saya lebih 5,000 orang sukarelawan SV akan digerakan melalui 6 kluster iaitu SV PBT, SV Skuad Muda Sekolah, SV IPTA/S, SV Agensi Kerajaan, SV JPKK dan SV Umum dari 10 daerah dalam negeri Johor bersiap siaga untuk digerakkan ke daerah-daerah terkesan yang mana mereka ini akan menjadi barisan hadapan bagi membantu kerja-kerja pembersihan kediaman.
Saya yakin, jumlah atau angka keterlibatan sukarelawan ini boleh meningkat dengan adanya solidariti, kesatuan dan kebersamaan Bangsa Johor terhadap mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
Ayuh Bangsa Johor dan Orang Muda Johor! Seruan misi bantuan telah dibunyikan, kita sama-sama menggembling tenaga untuk memberi senyuman semula dan sinar buat mangsa-mangsa banjir.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Berserah