Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Muar
Syukur Alhamdulillah, dalam lawatan kerja ke daerah Muar, saya telah dibentangkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Muar yang merangkumi pelbagai keutamaan dan inisiatif strategik bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di daerah ini.
Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan yang lebih tersusun dan menyeluruh dengan mengambil kira potensi, keperluan serta cabaran setempat. Setiap perancangan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat, selain memperkukuh daya saing Muar sebagai antara daerah penting dalam pertumbuhan ekonomi Johor.
Dalam masa sama, saya turut berpeluang beramah mesra bersama masyarakat Muar menerusi Majlis Jalinan Rakyat di Laman Bakau Parit Kassim. Pertemuan sebegini amat penting untuk terus mendengar pandangan dan aspirasi masyarakat, di samping melihat sendiri potensi kawasan ini untuk diperkasa sebagai destinasi rekreasi, pelancongan dan aktiviti komuniti.
Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi sembilan projek meliputi:
1. RM100,000 bagi tiga kerja menaik taraf sistem perparitan di sekitar Bentayan melibatkan Kampung Parit Tiram, Jalan Daud, Lorong Ahmad dan Lorong Serkam 1.
2. RM200,000 bagi kerja membaik pulih culvert, pemasangan lampu solar serta pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sekitar Lenga dan Jambatan Sungai Tui.
3. RM100,000 bagi membaiki jalan serta sistem saliran di Jalan Parit Samsu Darat dan Parit Kassim, Mukim Parit Jawa.
Saya turut berkesempatan meninjau kerja-kerja penambahbaikan di Kuarters PDRM Parit Perupok. Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Perbandaran Muar, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM5 juta bagi kerja mengecat semula, pembaikan struktur bumbung, penggantian tangki air, penambahbaikan sistem mekanikal serta lain-lain kerja berkaitan. Keseluruhan projek disasarkan siap pada Mac 2027.
Semoga segala usaha ini terus membuka lebih banyak peluang, meningkatkan kualiti hidup serta mengangkat potensi Muar sebagai daerah yang semakin maju, berdaya saing dan sejahtera, seiring dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




