Perbincangan Perkara Penting Berkaitan Pembangunan Dan Keperluan Strategik Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, yang turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, bagi menyelaras beberapa perkara penting berkaitan pembangunan dan keperluan strategik negeri Johor.
Antara keutamaan yang diberikan perhatian ialah usaha memperkukuh infrastruktur asas negeri, khususnya jaminan bekalan air jangka panjang. Seiring dengan pertumbuhan pesat Johor, pelaksanaan beberapa projek sumber dan bekalan air utama perlu terus dipercepatkan bagi memastikan keperluan rakyat, industri dan pembangunan negeri dapat dipenuhi secara mampan.
Turut dibincangkan ialah perkembangan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), termasuk proses pemuktamadan Pelan Induk JS-SEZ. Inisiatif ini mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemacu utama ekonomi Johor dalam menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, memperkasa perniagaan tempatan serta memastikan limpahan pembangunan dapat dirasai oleh Bangsa Johor.
Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian kepada setiap perkara yang melibatkan kepentingan dan masa depan Johor, di samping memperkukuh penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek dan inisiatif strategik dapat digerakkan dengan berkesan.
Semoga segala usaha dan penyelarasan ini terus dipermudah demi kepentingan rakyat, memperkukuh asas pembangunan negeri, meningkatkan daya saing ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada Bangsa Johor, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




