Perkembangan Terkini Isu Network School Di Forest

1. Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

2. Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan keputusan yang segera, jelas dan muktamad berhubung status individu terlibat serta operasi Network School.

3. Dalam bidang kuasa negeri, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. MBIP telah melaksanakan semakan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis perniagaan serta pematuhan terhadap syarat-syarat papan iklan. 

4. Hasil pemeriksaan mendapati syarikat beroperasi di dua premis, di mana satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan.

5. Selain daripada itu, pihak syarikat juga didapati telah melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan yang tidak dikemukan permohonan secara terperinci

6. Sehubungan itu, MBIP telah mengambil tindakan penguatkuasaan seperti berikut:

a) Notis Henti Niaga IP012N260714001 dikeluarkan ke atas premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah. 

b) Notis Lesen Iklan (6103) dikeluarkan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang telah diberikan.

7. Kerajaan Negeri menegaskan bahawa MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya. Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

DATO’ ONN HAFIZ GHAZI
Menteri Besar Johor 

Skip to content