Program Bangsa Johor Bahagia Iham YDPA dan Raja Permaisuri Agong

Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang merupakan ilham KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bakal diperluaskan untuk pembangunan komuniti di Johor.

Ia merupakan sebuah projek komuniti di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program BJB menempa beberapa kejayaan melalui projek komuniti perintis yang telah dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai sejak tahun 2019.

Kini, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong melahirkan hasrat untuk memperluaskan program BJB ke Flat Taman Plentong Utama dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan penempatan berkenaan.

Dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan, pada hari ini (5 Mei), Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Hadir sama, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rashidi, Ketua Projek BJB dan Hishamudin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.

Perancangan program BJB bagi kawasan Taman Plentong Utama akan turut menerapkan elemen teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam aktivitinya.