Program Semarak Subuh: Masjid An-Nur, Kampung Sinaran Baru
Syukur Alhamdulillah, dalam keberkatan Ramadan ini, Program Semarak Subuh Johor terus menjadi satu usaha berterusan untuk mengimarahkan masjid dan surau serta memperkukuh pembangunan rohani masyarakat terutamanya umat Islam di Johor.
Saya berpeluang bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Nur, Kampung Sinaran Baru dengan menunaikan solat Subuh berjemaah serta mengikuti tazkirah tentang “Puasa Membakar Dosa” yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Nasri bin Rahman, Kadi Daerah Muar, dalam suasana penuh keinsafan dan muhasabah diri.
Menerusi tazkirah yang disampaikan, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa “barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. Turut ditekankan juga bahawa Ramadan ialah bulan penyucian dosa, namun ia menuntut kesungguhan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi mengawal hawa nafsu yang sentiasa menguji diri.
Sepertimana diibaratkan oleh Imam al-Ghazali, nafsu itu seperti kuda liar; jika tidak dijinakkan, ia mampu menjatuhkan kita. Maka puasa menjadi latihan untuk mengawal nafsu dan membentuk jiwa yang lebih tenang. Ramadan mendidik hati agar lebih kuat daripada tubuh, kerana yang dinilai Allah bukanlah kekuatan fizikal, tetapi kekuatan hati yang tersembunyi.
Semoga Ramadan ini benar-benar menjadi medan kita menyucikan jiwa, memperkukuh ibadah, memperbanyakkan doa termasuk untuk kesejahteraan negeri dan kepimpinan, serta terus istiqamah memartabatkan syiar Islam di Negeri Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #Ramadan2026 #RapatkanSaf




