Sambutan Hari Peneroka FELDA

Syukur Alhamdulillah, walaupun sambutan Hari Peneroka FELDA yang dirancang pada 21 Jun tahun ini tidak dapat diteruskan berikutan keputusan di peringkat tertinggi, ia tidak sekali-kali melunturkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus mengadakan program Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka FELDA semalam.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Johor ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, atas segala kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program semalam. Seperti yang difitnah oleh pelbagai pihak, saya tidak dapat mengadakan program pada 21 Jun bukan sebab mereka. Ada “tangan ghaib” yang menghalang.

Penantian 210 peneroka FELDA di Johor menerima hak milik masing-masing dilangsungkan dengan baik dan lancar semalam di luar kawasan FELDA. Penyerahan ini turut melengkapkan penyelesaian 27,639 hak milik peneroka FELDA di seluruh negeri atau 99.99 peratus daripada keseluruhan peneroka FELDA di Johor, sekali gus memastikan lebih ramai warga FELDA mendapat hak yang sewajarnya.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada agenda Generasi Kedua FELDA. Sehingga kini, sebanyak 10,663 permohonan lot Generasi Kedua FELDA atau 86 peratus daripada keseluruhan permohonan telah diluluskan, termasuk 3,178 permohonan yang berjaya diselesaikan sepanjang tempoh pentadbiran ini.

Komitmen Kerajaan Negeri terhadap warga FELDA tidak terhenti setakat penyelesaian hak milik. Sepanjang tempoh 2022 hingga 2026, sejumlah RM36.19 juta juga telah diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada peneroka, generasi FELDA, belia, wanita serta komuniti FELDA di seluruh Johor.

Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini akan terus memperkukuh kebajikan warga FELDA, menjaga kepentingan generasi penerus serta memastikan legasi perjuangan para peneroka dapat diwarisi dan dihargai buat selama-lamanya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content