Semarak Maghrib Dan Isyak Di Surau Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama masyarakat setempat di Surau Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda, bagi menunaikan solat secara berjemaah serta mengimarahkan rumah Allah SWT. Pertemuan ini turut menjadi ruang untuk mengeratkan ukhuwah dan menyuburkan budaya menuntut ilmu dalam kalangan masyarakat.
Majlis diteruskan dengan perkongsian Hadis 40 bertajuk “Peringkat Kejadian Manusia” yang disampaikan oleh Ustaz Kamarul Akmal bin Abdul Karim, Pegawai Dakwah Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru. Perkongsian ini mengingatkan kita tentang hakikat kejadian manusia dan kebergantungan sepenuhnya kepada kekuasaan serta ketentuan Allah SWT.
Antara pengajaran yang boleh kita hayati ialah pentingnya sentiasa bersyukur atas segala nikmat dan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Setiap nikmat merupakan amanah yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, manakala setiap ujian menjadi ruang untuk kita bermuhasabah, memperbaiki diri dan mendekatkan hubungan dengan Allah SWT.
Kita juga diingatkan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Justeru, setiap kesempatan yang diberikan sewajarnya diisi dengan amal soleh, menjaga akhlak, memelihara hubungan sesama manusia serta memperbanyakkan kebaikan. Dalam mengejar urusan dunia, jangan sesekali kita melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan persediaan menuju kehidupan akhirat.
Sesungguhnya, tiada siapa yang mengetahui bagaimana pengakhiran perjalanan hidupnya. Sebab itu, kita hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki amalan, tidak menangguhkan taubat dan memohon agar Allah SWT menetapkan hati kita dalam kebaikan serta mengurniakan pengakhiran hidup yang baik, iaitu husnul khatimah.
Semoga perkongsian ilmu ini menjadi peringatan buat kita semua untuk terus memperbaiki diri, mengamalkan akhlak yang mulia dan menjadikan setiap ruang kehidupan sebagai peluang untuk beribadah kepada Allah SWT. Insya-Allah.
Kepada Allah Kita Berserah
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakMaghribDanIsyakJohor #RapatkanSaf




