Sesi Libat Urus Bersama Golongan Profesional Masyarakat India Di Johor

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan sesi libat urus bersama golongan profesional masyarakat India di Johor yang terdiri daripada pelbagai bidang seperti perniagaan, pendidikan, kejuruteraan, perundangan dan industri.

Sesi ini menjadi platform penting yang mencerminkan kekuatan dan potensi besar golongan profesional dalam pembangunan negeri, sekali gus mengiktiraf peranan mereka sebagai rakan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta kemajuan sosial Johor.

Dalam sesi tersebut, saya turut berkongsi hala tuju negeri khususnya potensi besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin utama ekonomi Johor. Inisiatif ini membuka ruang kepada pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, serta mengangkat daya saing Johor ke peringkat serantau dan global.

Saya juga teruja mendengar sendiri pandangan, cadangan dan aspirasi yang dikongsikan. Setiap suara ini amat bernilai kerana pembangunan Johor bukan hanya digerakkan oleh dasar, tetapi diperkukuh oleh kepakaran, pengalaman dan kepimpinan Bangsa Johor sendiri tanpa mengira agama mahupun warna kulit.

Semoga pendekatan sesi libat urus ini terus memperkukuh jalinan kerjasama yang lebih erat, sekali gus memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar berkesan dan memberi impak yang menyeluruh kepada Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor