Sesi Penggulungan Belanjawan Johor 2026
Syukur Alhamdulillah, selesai sesi penggulungan Belanjawan Johor 2026 bertemakan “Bangsa Johor Sejahtera”.
Dalam sesi penggulungan, saya menegaskan bahawa pembangunan negeri tidak tertumpu hanya di Johor Bahru mahupun di kawasan Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ), sebaliknya merentasi 10 daerah dan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sejajar perancangan menyeluruh Johor Economic Transformation Plan (JETP).
Menerusi JETP, setiap daerah akan mempunyai sektor tumpuan unik dari AI, ekonomi digital, aeroangkasa, agro-pelancongan, tenaga hijau, hingga agro-pemprosesan. JETP turut menyasarkan tiga objektif utama menjelang 2030, iaitu menggandakan KDNK Johor kepada RM260 bilion, meningkatkan KDNK per kapita melebihi RM69,000, dan mewujudkan 200,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Selain itu, sebanyak 13 daripada 32 inisiatif di bawah JETP juga telah dikenal pasti sebagai inisiatif berimpak tinggi dan akan dipercepatkan pelaksanaannya. Saya yakin semua usaha ini pastinya akan merancakkan ekonomi setempat sekali gus memastikan rakyat di setiap daerah benar-benar merasai manfaat pembangunan.
Semoga Allah SWT meredhai setiap usaha ini dan melimpahkan kebaikan serta kesejahteraan kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




