Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar berdasarkan data pada Mac 2023 telah berjaya disifarkan pada Julai 2024

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada 9 Mei 2024 dalam Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15, untuk memastikan agar tiada seorang pun Ketua Isi Rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.

Syukur Alhamdulillah, dalam ucapan Belanjawan Johor 2025, saya telah memaklumkan bahawa berkat usaha semua pihak, kesemua 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar berdasarkan data pada Mac 2023 telah berjaya disifarkan pada Julai 2024.

Patik dan seluruh Bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dan seluruh Keluarga DiRaja Johor atas keprihatinan terhadap rakyat yang berada dalam kesusahan.

Usaha ini adalah usaha yang berterusan. Terdapat 235 permohonan baharu yang direkodkan antara Ogos sehingga Oktober tahun ini. Kerajaan Negeri komited untuk mensifarkan angka ini melalui pendekatan holistik, inklusif dan berfokus kepada peningkatan taraf hidup.

Saya berharap agar semua yang terlibat dalam usaha membantu mensifarkan miskin tegar di Johor untuk terus sama-sama turun padang dalam memastikan segala perancangan yang dibuat mengikut pelan yang telah disusun rapi, agar seluruh rakyat di negeri ini mendapat manfaatnya.
Semoga golongan rentan di Johor terus terbela, agar hasrat Kerajaan dalam menoktahkan sifar miskin tegar akan tercapai. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor