Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2025

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menzahirkan keprihatinan serta komitmen terhadap kebajikan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang meraikan barisan wira kesihatan Johor dalam Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.

Majlis ini merupakan simbol penghargaan Kerajaan Negeri kepada lebih 8,000 jururawat di seluruh Johor yang saban hari menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan rakyat. Tema sambutan tahun ini, ‘Our Nurses, Our Future: Caring for Nurses, Strengthen Economies’ amat bertepatan dengan peranan penting jururawat dalam membina daya tahan sistem kesihatan dan menyumbang secara langsung kepada kemakmuran ekonomi negeri.

Di setiap penjuru negeri sama ada di wad hospital, klinik kesihatan mahupun klinik desa, jururawat terus berbakti tanpa mengenal erti penat lelah. Mereka berdiri gagah ketika kita beristirahat, merawat yang sakit, menenangkan yang gundah, menyambut kelahiran baru dan mengiringi pemergian insan ke negeri abadi. Inilah wajah sebenar pengorbanan yang jarang terlihat namun sentiasa dirasai.

Sebagai tanda sokongan yang berterusan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM400 ribu khusus untuk kebajikan jururawat pada tahun 2025, selain pelbagai inisiatif lain berjumlah lebih RM19.8 juta bagi tahun 2024 hingga 2025 untuk memperkukuh sektor kesihatan Johor.

Kerajaan Negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta semua pihak berkepentingan agar para jururawat terus menerima sokongan, fasiliti dan pengiktirafan yang setimpal dengan jasa serta pengorbanan mereka. Insya-Allah.

Kepada semua jururawat Johor, anda adalah wira tak didendang yang menjadi harapan dan pelindung masyarakat. Terima kasih atas kecekalan, keikhlasan dan kesungguhan semua. Semoga segala bakti kalian menjadi amal jariah yang terus mengalir dan mengangkat martabat kesihatan negeri Johor yang dicintai ini.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor