Jemaluang Dairy Valley Pacu Johor Sebagai Hab Tenusu Negara
Syukur Alhamdulillah, Jemaluang Dairy Valley (JDV) dijangka menyumbang kira-kira 16 peratus kepada keperluan susu nasional, sekali gus akan memposisikan Johor sebagai hab utama industri tenusu negara serta pemacu strategik agenda keterjaminan makanan nasional.
Menerusi majlis ini, saya turut berkesempatan meninjau secara dekat fasiliti dan infrastruktur yang dibangunkan di kawasan ini. JDV merupakan hab penternakan tenusu berskala besar pertama di Johor serta ladang susu A2A2 terbesar di Malaysia, yang dirancang secara menyeluruh merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan rantaian bekalan.
Projek ini bermula dengan kemasukan kumpulan pertama 1,000 ekor lembu pada November 2025, dan akan diperluaskan secara berperingkat kepada 4,000 ekor menjelang tahun ketiga operasi, selari dengan pelaksanaan fasa pembangunan yang sistematik dan mampan.
Dari segi kapasiti pengeluaran, JDV diunjurkan menghasilkan 3 juta liter susu pada tahun 2026, sebelum meningkat secara konsisten kepada 12 juta liter setahun menjelang 2029. Unjuran ini mencerminkan sumbangan signifikan projek ini dalam meningkatkan pengeluaran susu tempatan serta mengurangkan kebergantungan negara kepada bekalan import.
Sebagai pelengkap kepada operasi ladang, sebuah kilang pemprosesan susu berteknologi tinggi turut dirancang untuk dibangunkan dalam kompleks JDV dan disasarkan mula beroperasi pada suku pertama 2027. Kilang ini mempunyai kapasiti awal sebanyak 14 juta liter setahun, dengan potensi peluasan sehingga 30 juta liter, bagi penghasilan susu segar dipasteur serta produk tenusu bernilai tambah untuk pasaran domestik.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), serta semua jabatan, agensi kerajaan dan rakan sektor swasta atas komitmen berterusan dan kerjasama strategik yang menjadi asas kejayaan pelaksanaan projek ini.
Semoga pembangunan Jemaluang Dairy Valley ini bukan sahaja berpotensi melonjakkan Johor sebagai peneraju pengeluaran susu negara, malah menyokong pembangunan bakat agro serta memperkasa pertumbuhan ekonomi luar bandar. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




