Johor Dialogue 2026

Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas visi dan hasrat agar Johor terus memperkukuh kerjasama dengan institusi terbaik dunia serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri dengan menjadikan agenda pembangunan modal insan sebagai teras utama transformasi Johor.

Syukur Alhamdulillah, hari ini telah berlangsung Johor Dialogue 2026 menampilkan lima pemikir dan profesor dari University of Oxford sebagai pentas dialog dasar bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pembuat dasar, agensi pelaburan, institusi kewangan dan pemimpin industri, sekali gus meletakkan Johor di barisan hadapan perbincangan strategik mengenai ekonomi global yang semakin saling bergantung dan kompetitif. 

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Permodalan Darul Ta’zim (PDT) telah mula menghantar pegawai-pegawai kerajaan ke institusi terkemuka dunia. Ketika ini, lima penjawat awam Johor sedang mengikuti program profesional di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, dalam bidang kepimpinan organisasi berteraskan AI, satu bidang yang akan membentuk masa depan pentadbiran dan ekonomi. 

Dan ini hanyalah satu permulaan. Kita juga sedang bekerjasama dengan pelbagai institusi global lain untuk memastikan pembangunan kepimpinan, dasar, teknologi, alam sekitar dan pendidikan Johor berada pada standard antarabangsa. Di bawah Johor Talent Development Council (JTDC), Kerajaan Negeri telah merangka pembangunan bakat negeri secara menyeluruh melalui lima kluster utama melibatkan kerjasama institusi bertaraf dunia.

1. Kluster Kepimpinan & AI bersama Massachusetts Institute of Technology (MIT) bagi kepimpinan berteraskan teknologi; 

2. Kluster Kelestarian & Alam Sekitar bersama Imperial College London dan Oxford Blavatnik School of Government untuk strategi ESG dan dasar hijau Johor; 

3. Kluster Kepimpinan Dasar & Pembangunan Strategik bersama Harvard Kennedy School dan Oxford bagi pengukuhan dasar awam, pengurusan risiko serta pembangunan bandar pintar; 

4. Kluster Pelaburan & Rundingan Antarabangsa bersama Oxford Saïd Business School dan Harvard bagi meningkatkan keupayaan rundingan strategik serta daya saing pelaburan negeri; serta 

5. Kluster Pembangunan Bakat Negeri melalui program seperti Johor Prestige Leadership Programme dan kolaborasi universiti tempatan. 

Tidak cukup dengan itu, JTDC turut memperkukuh jaringan serantau melalui kerjasama dengan institusi TVET terkemuka Singapura seperti Republic Polytechnic dan Singapore Polytechnic, selain penglibatan universiti di China termasuk Peking University dan Zhejiang University, bagi memastikan pemindahan ilmu global, teknologi dan kepakaran industri mengalir kepada penjawat awam, tenaga kerja serta generasi muda Johor.

Inilah hasrat DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk melihat Johor berdiri sama tinggi di pentas global, dipacu oleh penjawat awam yang berwawasan, generasi muda yang berkemahiran masa hadapan, serta institusi negeri yang kukuh, progresif dan bersedia memimpin dalam dunia tanpa sempadan. Usaha ini adalah gerakan tersusun untuk menaik taraf kapasiti pentadbiran negeri dan bakat Orang Muda Johor secara menyeluruh. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor