Memperkukuhkan Usaha Jaminan Bekalan Air Di Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, sebanyak 38 projek melibatkan RM15.3billion akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan usaha jaminan bekalan air di negeri Johor. Satu pertemuan telah diadakan diantara Kerajaan Negeri dengan YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi membincangkan perkara ini.
Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah meneliti pelan perancangan bekalan air Johor secara menyeluruh merangkumi projek jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai langkah strategik bagi memastikan bekalan air Johor kekal stabil, mencukupi dan mampan, sekali gus menyokong keperluan rakyat serta pertumbuhan pesat sektor industri dan pelaburan di negeri ini.
Bagi jangka pendek (2025–2027), terdapat 8 projek merangkumi:
1. Pembinaan dua Loji Rawatan Air (LRA) dengan kapasiti keseluruhan 210 juta liter sehari (JLH);
2. Satu projek penyaluran air mentah dari Sungai Sedili Besar ke Sungai Gembut berkapasiti 18 JLH; dan
3. Lima projek penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).
Untuk jangka sederhana (2028–2030), terdapat 12 projek yang akan dilaksanakan melibatkan:
1. Pembinaan enam Loji Rawatan Air dengan kapasiti 118 JLH;
2. Tiga projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan baraj berkapasiti 556 JLH;
3. Satu projek rezoning infrastruktur bekalan air dengan kapasiti 260 JLH;
4. Satu projek penggantian paip air mentah ke empangan; serta
5. Projek TAPS Sungai Johor bernilai RM605 juta dengan kapasiti takungan 26 juta meter padu (MCM) yang mampu membekalkan sehingga 156 JLH.
Manakala bagi jangka panjang (2031–2050), terdapat 18 projek dalam perancangan iaitu:
1. Pembinaan lima belas Loji Rawatan Air dengan kapasiti keseluruhan 2,626 JLH;
2. Tiga projek TAPS dan baraj dengan kapasiti 1,000 JLH.
Bukan itu sahaja, usaha mengurangkan risiko banjir turut diberi perhatian melalui Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Batu Pahat – Parit Sulong yang melibatkan kos RM187.17 juta. Projek ini merupakan langkah penting bagi memperkukuh sistem tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Semoga segala usaha ini dapat memastikan bekalan air yang selamat, mencukupi dan berterusan, di samping memperkukuh ketahanan negeri dalam menghadapi cabaran masa depan demi kesejahteraan Bangsa Johor, kini dan akan datang. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




