Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar

Syukur Alhamdulillah, sebanyak RM14.94 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan 128 projek pembangunan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar. Peruntukan ini melibatkan pelbagai projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam yang memberi manfaat terus kepada rakyat di daerah ini.

Dalam mesyuarat MTD Muar yang melibatkan tujuh DUN, sebanyak 405 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh. Daripada jumlah tersebut, 134 isu telah berjaya diselesaikan, 51 sedang dalam pelaksanaan, 160 merupakan permohonan baharu, manakala selebihnya memerlukan penelitian lanjut oleh agensi berkaitan.

Pendekatan melalui MTD ini bertujuan memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diselaraskan dan diselesaikan secara lebih tersusun antara Kerajaan Negeri bersama agensi dan jabatan berkaitan, supaya tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, berfokus dan berkesan.

Antara projek lain yang bakal dilaksanakan termasuklah kerja menaik taraf balapan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, selaras dengan usaha memperkukuh kemudahan sukan serta menyokong pembangunan komuniti dan bakat anak muda di Muar. 

Dalam kesempatan yang ada, saya turut berpeluang menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang berlangsung di Masjid Jamek Nurul Iman, Parit Bakar, Muar, bagi membantu meringankan sedikit beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Semoga dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan setempat, setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan sebaiknya agar isu yang dibangkitkan rakyat dapat terus ditangani secara berkesan, sekali gus memastikan pembangunan negeri dapat dirasai secara menyeluruh. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #Ramadan2026 #MTD #BKJ