Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Kluang
Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM19.51 juta bagi melaksanakan lebih 70 projek pembangunan di Daerah Kluang untuk tahun 2026 menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD). Peruntukan ini melibatkan pelbagai projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur, penyelenggaraan kemudahan awam serta penambahbaikan perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam mesyuarat MTD Kluang yang melibatkan enam kawasan DUN iaitu Mahkota, Mengkibol, Paloh, Kahang, Layang-Layang dan Machap, sebanyak 261 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh. Daripada jumlah tersebut, 189 isu berjaya diselesaikan, 38 sedang dalam pelaksanaan, 15 merupakan permohonan baharu, manakala 19 isu masih dalam penelitian dan siasatan oleh agensi berkaitan.
Pendekatan melalui MTD ini amat penting kerana ia menjadi medan untuk kerajaan turun melihat sendiri isu yang dibangkitkan rakyat dan memastikan setiap perkara yang disuarakan dapat ditangani secara lebih tersusun, cepat dan berkesan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, PBT serta semua agensi pelaksana.
Dalam kesempatan yang sama, saya turut berpeluang menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) di DUN Paloh, Kluang. Syukur Alhamdulillah, seramai 3,819 penerima di DUN Paloh telah menerima BKJ dengan jumlah peruntukan hampir RM1 juta, melibatkan pelbagai golongan sasar termasuklah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin, ibu tunggal, OKU, anak yatim, pesakit kronik, dan banyak lagi.
Semoga dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan setempat, setiap usaha pembangunan dan bantuan yang disalurkan ini dapat memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




